Thursday 14 June 2012

Bahana Facebook

Lapan tahun kemudian, pada masa itu saya masih lagi berseorangan menyambut kedatangan tahun baru 2020 di Dataran Merdeka. Pada masa itu, artis-artis veteran seperti Dato' Siti, Faizal Tahir, Datin Stacy dan ramai lagi sedang membuat persembahan secara bergilir-gilir menanti detik jam 12 malam.

Sebelum daripada persembahan tersebut berlangsung, PM Malaysia ke-9 daripada parti Pas, entah nama Tuan Guru apa saya tak berapa ingat, telah memberikan ucapan tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ya, walaupun Pas memerintah, persembahan nyanyian terus diadakan bagi memenuhi kehendak rakyat 1Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa. Lagi pun, memang bangsa melayu itu sendiri, sejak zamannya Kesultanan Melayu Melaka memang menggemari hiburan. Lagi lama masa untuk berhibur, lagi baik.

Yang sedikit beragama, kebanyakan mereka menuju ke Masjid Negara bersebelahan Dataran Merdeka bagi menunaikan solat hajat tahun baru bersama Yang di-Pertuan Agong.

Sedang asyik saya melayan persembahan daripada bandboy baru ala-ala k-pop iaitu kumpulan Half and A Long saya terserempak dengan kawan lama saya iaitu Alex (bukan nama sebenar).

Alex yang kebetulan juga keseorangan pada malam tersebut mengambil keputusan untuk duduk bersama saya meraikan kedatangan tahun baru. Saya dan Alex berbual. Perbualan kami pada masa itu hanyalah perbualan biasa golongan-golongan 30-an seperti bab kereta, isteri, anak, cukai, harga makanan, dan perkhidmatan air percuma yang dijanjikan kerajaan.

Perbualan kami makin lama makin ke belakang, atau lebih senang lagi saya kata kami flashback hinggalah ke tahun 2012. Terlalu banyak cerita menarik yang berlaku pada tahun 2012. Selain daripada Euro yang berlansung di Poland, kegagalan Dato' Lee Chong Wei meraih emas Olimpik di London, tahun 2012 juga merupakan tahun pilihanraya paling getir yang berlaku di Malaysia.

Cerita daripada Alex, pada tahun tersebut sebelum pilihanraya, kerajaan telah memblok semua server berkaitan youtube, facebook, blogger, P2P proxi blablabla dan sebagainya di seluruh negara. Tujuan blok itu dibuat ialah untuk menghentikan fitnah-fitnah yang secara terus-menerus dibuat oleh parti pembangkang terhadap kerajaan melalui media-media ini.

Ya, manusia 2012 juga dikenali sebagai manusia facebook. Mungkin anak-anak kita masa ini tidak mengenali apa itu facebook, mereka lebih mengenali Dr. Book yang diusahakan oleh anak tempatan iaitu Dr. Rozmey. Facebook kalau diikutkan samalah seperti Dr. Book, cuma warnanya saja yang berbeza iaitu facebook biru dan Dr. Book warnanya pink.

Berikutan daripada pemblokan itu, menurut Alex lagi, kehidupan harian manusia facebook telah menjadi huru-hara, tidak terurus dan kucar-kacir. Di tempat dia belajar sahaja telah berlaku kes dimana seorang pelajar mengungut untuk terjun daripada bangunan asrama setinggi 13 tingkat gara-gara tidak dapat berfacebook. Ada juga pelajar yang gagal dalam peperiksaan kerana tidak dapat berkongsi spot soalan menerusi facebook.

Di dalam kelas pula, ada seorang pelajar perempuan, kerana terlalu gian, sanggup mengupdate status diri sendiri di atas kertas A4 dan menggantungnya di leher. Perghh..!! Pelajar-pelajar lain yang membacanya mengangkat tangan tanda best sebagai tanda like.

Ekoran daripada pemblokan tersebut, kerajaan pada masa itu telah tumbang di dalam pilihanraya. Semuanya kerana bahana facebook. Mengikut kajian, kekalahan kerajaan adalah berpunca daripada protes rakyat yang menginginkan penggunaan facebook secara berterusan. Memblok facebook ibaratnya telah mengambil nyawa sekalian rakyat.

Dan hari ini, saya, Alex dan seluruh rakyat Malaysia bahagia dengan pemerintahan yang ada. Seimbang dunia akhirat. Kahkahkah.

1 comment: